Pengenalan

Kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) ditubuhkan demi membantu perkhidmatan Unit Bimbingan dan Kaunseling dalam menyediakan satu saluran untuk pelajar mendapatkan maklumat berkaitan akademik dan kerjaya, program pembangunan pelajar selain menjadi wadah perkongsian perasaan demi mengenalpasti kaedah terbaik menangani pelbagai isu berkaitan perkembangan remaja dalam masyarakat di sekolah.

Menurut Zuraidah (1987 ), Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) adalah seorang pelajar yang telah dilatih dalam bidang kemahiran asas komunikasi dan kaunseling. Ia berfungsi sebagai seorang kawan yang berkesan kepada rakan sebaya, terutama kepada mereka yang memerlukan pertolongan.

Pelajar yang telah dilantik sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolah tidak bertugas memberi nasihat dan menyelesaikan masalah orang lain tetapi membantu dengan menjadi teman bicara selain menanam kepercayaan dalam diri individu untuk mendapatkan bantuan pada saluran yang dirasakan perlu.

Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) juga mampu memberi sumbangan di sekolah dengan mewujudkan suasana persekitaran yang selamat melalui budaya penyayang dan saling membantu di kalangan pelajar selain memupuk nilai diri yang peka, bertolak ansur dan bertimbang rasa serta rela membantu orang lain dalam masyarakat majmuk berbilang kaum.